Friday, May 5, 2017

Cabaran Penggunaan Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Kemahiran teknologi guru


Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran pada masa ini telah menjadi satu perkara penting bagi guru-guru. Penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikan. Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya kurang pengalaman dan pendedahan dengan penggunaan teknologi maklumat. Menurut Ambigapathy Pandian dan Suthagar Narasiman (2003:116), guru-guru mungkin gagal membina keyakinan diri dan persepsi yang betul untuk mengendalikan komputer serta teknologi perisiannya dalam bilik darjah.

      Selain itu, guru juga tidak dibekalkan dengan latihan teknologi yang mencukupi. Ketidakcekapan mengendalikan alatan teknologi ini akan mengambil masa yang lama untuk menyediakan peralatan sebelum memulakan proses pengajaran. Hal ini telah menyebabkan tahap kemahiran guru tentang teknologi masih berada pada tahap yang lemah. Justeru itu, masalah timbul apabila guru yang tidak mahir menggunakan teknologi untuk membuat perancangan pengajaran. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Secara tidak langsung, hal ini akan membantut perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya kepada murid-murid.




Sikap guru

Pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini untuk meningkatkan tahap kemahiran guru dalam menyampaikan sesuatu khususnya dalam pengajaran bahasa. Justeru itu, terdapat segelintir guru yang masih tidak mengikuti serta enggan mengubah kaedah pengajaran mereka. Hal ini dapat dibuktikan apabila guru-guru yang telah lama berkhidmat dalam dunia pendidikan enggan mengubahsuai corak pengajaran dan pembelajaran serta tidak bersedia melaksanakan pembelajaran dinamik dalam konteks penggunaan teknologi. Menurut Mukama dan Anderson (2007), guru-guru yang berusia enggan untuk berubah ke arah pengintegrasian komputer di sekolah berbanding guru-guru baru yang lebih mesra dengan teknologi maklumat. Ini menunjukkan golongan muda lebih terdedah kepada teknologi baru.

      Guru-guru ini tidak dapat mengaplikasikan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran adalah disebabkan mereka telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar membuat penyesuaian dengan teknologi. Hal ini dapat dibuktikan bahawa mereka masih lagi menggunakan buku teks serta papan tulis semata-mata dan tidak mempunyai alternatif kaedah pengajaran yang terkini. Selain itu, terdapat sesetengah guru yang merasakan penggunaan kaedah pengajaran konvensional sudah cukup untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah. Ini menunjukkan mereka tidak bersedia untuk berubah dan mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana guru-guru ini masih terpengaruh dengan pendidikan berorientasikan peperiksaan. Hal ini didorong oleh rasa yakin terhadap teknik pengajaran dan pembelajaran konvensional yang dianggap relevan dengan sistem peperiksaan. Golongan guru ini berpendapat, jika keputusan peperiksaan yang diperoleh setiap tahun cukup baik dan cemerlang, maka tiada sebab untuk mengubah yang sudah sedia ada baik untuk pelajar (Mukama & Anderson, 2007)





Kekurangan prasarana

Proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer. Bagi memanfaatkan teknologi dalam pendidikan di Malaysia, RM 6 billion telah diperuntukkan untuk teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Pada masa ini, kemudahan alat teknologi yang ada di sekolah adalah tidak seragam dan tidak mengikut nisbah murid yang sepatutnya. Ketidakseragaman ini menimbulkan masalah dan cabaran untuk guru mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, terdapat sekolah yang menempatkan 800 orang murid tetapi bilangan komputer yang terdapat di dalam makmal komputer adalah kurang daripada 80 unit. Oleh itu, dapat dilihat bahawa terdapat murid yang terpaksa berkongsi komputer seramai 2 atau 3 orang.

      Bukan itu sahaja, terdapat sekolah-sekolah yang hanya meletakkan komputer di makmal sahaja dan ada yang disediakan dalam kelas-kelas serta tempat tertentu sahaja. Hal ini menyebabkan segelintir guru terpaksa menempah makmal computer terdahulu sekiranya ingin mengaplikasikan pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Komputer yang digunakan di sekolah juga sering rosak dan ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi. Apabila komputer tersebut mengalami kerosakan, pihak sekolah pula tidak mempunyai peruntukan khas untuk memperbaiki komputer-komputer yang mengalami kerosakan.


      Selain itu, masalah makmal komputer juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Hal ini dapat dibuktikan bahawa terdapat juga guru yang tidak dapat menggunakan makmal komputer disebabkan jumlah bilik komputer yang terhad. Tambahan pula, guru juga terpaksa menempah makmal komputer dan menunggu giliran untuk menggunakan makmal komputer dan juga peralatan ICT yang lain. Perkara ini juga mengakibatkan teknologi kurang diaplikasikan dalam pengajaran.